Home » Kalam Ketua P-PUM » Currently Reading:

SURAT KETUA PEMUDA PUM

November 19, 2009 Kalam Ketua P-PUM No Comments

Ketua Pemuda PAS yang boleh saya anggap sebagai ulama muda atau sekurang-kurangnya pelapis ulama harus mengambil berat soal pertumbuhan ilmu kalangan penggerak muda parti Islam terbesar di negara ini. Beliau mempunyai kemampuan dan beliau sendiri menyedari bahawa perkembangan ilmu kalangan Pemuda PAS sedikit terhakis lantaran pergolakan politik yang meruncing.

Dalam soal agama, saya lebih mengharapkan Pemuda PAS untuk mencipta sesuatu yang boleh memberikan kesedaran yang besar kepada rakyat  manakala Pemuda UMNO pula harus serius untuk menangani gejala sosial yang kian bernanah. Pemuda UMNO juga harus menginsafi kelemahan mereka dari sudut ilmu agama, maka seharusnya mereka merendah diri untuk belajar daripada Pemuda PAS.

Saya melihat betapa pentingnya ahli gerakan Islam termasuk saya untuk menguasai beberapa ilmu yang dinggap sangat mustahak dan relevansi dengan masa sekarang seperti usul dan qawaid fiqhiyah, mu’amalah, basis-basis dalam ilmu fiqh, sedikit pengertian yang terkandung dalam tafsir dan hadis-hadis yang terpilih.

Ia sepatutnya dijadikan silibus dalam Pemuda PAS. Memahami dan mengerti 50 hadis yang terkandung dalam Jami’ul Ulum wal hikam karya Ibnu Rajab al-Hanbali lebih baik daripada Hadis 40 Imam Nawawi. Namun jika masa sempit dan tidak mengizinkan, memahami Hadis 40 al-Nawawi sudah memadai.

Dalam tafsir, mungkin selama ini Pemuda PAS diajar untuk menghafaz surah al-Saff namun persoalan yang timbul ialah berapa ramai yang memahami tafsir dan asbabun nuzul beberapa ayat dalam surah tersebut? Berapa ramai pula yang mengetahui kisah Hawariyyun yang terkandung dalam ayat terakhir surah itu?

Budaya ilmu ini sangat penting. Boleh jadi bedah buku, wacana tokoh dan menganalisis pemikiran-pemikiran besar yang pernah muncul dalam sejarah kemanusiaan harus dikaji. Saya pernah mencadangkan kepada Ketua Pemuda Lembah Pantai, Saudara Nasaie Ismail agar membedah buku Seven Habits. Mungkin karya besar tersebut dalam Bahasa Inggeris dan bersifat berat, namun pembentang boleh membentangkannya dalam Bahasa Ibunda dan memudahkan noktah penting yang wujud.

Boleh jadi juga Pemuda PAS dalam usrah-usrah membincangkan tentang Mahatma Gandhi yang dianggap Spiritual Leader India atau bagaimana Lee Kuan Yew membina Negara Singapura. Bahkan pengertian usrah di peringkat kawasan harus diperluaskan metodenya termasuklah menonton filem-filem yang banyak mengetengahkan strategi berfikir atau menonton filem Ashabul Ukhdud.

Pemuda Persatuan Ulama Malaysia (PUM) sentiasa mengharapkan agar Pemuda PAS di bawah Ustaz Nasrudin Hasan mengambil berat cadangan ini. Dalam masa yang sama, kita juga mengharapkan agar Ketua Pemuda UMNO, Saudara Khairy Jamaluddin agar turut menginsafi situasi Pemuda UMNO yang jauh dari lembah ilmu agama. Satu usaha yang intensif mesti digerakkan mulai sekarang secara serius agar plan tidak sekadar menjadi konsep bahkan menjadi satu resolusi bertindak yang praktikal.

MOHD DZUL KHAIRI MOHD NOOR

Ketua Pemuda PUM

013-2968703

Search This Site:

Content Tags:

Muzakarah


ShoutMix chat widget

Counter Hits

Comment on this Article:







Related Articles: