SATANISME & MISTIKISME
Saya tidak mahu ketinggalan untuk mengucapkan tahniah kepada pihak penyiaran televisyen yang telah mengambil inisiatif untuk memasukkan unsur Islam dalam beberapa segmen. Antara Unsur Islam yang telah dimasukkan secara halus dan tidak langsung ialah memuatkan ayat al-Quran setelah berakhirnya satu-satu cerita.
Namun saya tetap merasakan satu bentuk wacana ilmu dan canai minda ke arah membentuk satu gagasan media Islamik mesti dilaksanakan. Dengan memanggil golongan ilmuan, agamawan, sejarawan, pengamal media dan beberapa pihak yang difikirkan mampu memberikan pandangan termasuk mahasiswa yang mewakili suara anak muda, saya berkeyakinan kita mampu menghasilkan satu resolusi bertindak yang berkualiti.
Dalam satu perbincangan perah minda bersama pemikir Pemuda Persatuan Ulama Malaysia (PUM) satu malam, kami mendapati unsur satanisme dan mistikisme semakin menyelimuti ruang lingkup budaya masyarakat Melayu. Kami melihat ia tersebar melalui tiga sebab dan faktor yang terserlah.
Pertama, ramai pengarah filem kini sangat cenderung untuk menerbitkan filem hantu. Kedua, Cerita mistik sudah mula meresap dalam alam Melayu seperti Senandung Si dayang yang berkaitan sumpahan dan begitu juga dengan Sumpah Orang Bunian. Ketiga, kebanjiran senatron dari Indonesia yang banyak berpaksi kepada unsur pari-pari dan dewa sedangkan dalam masa yang sama, unsur ketuhanan turut ditekankan.
Sebelum menghasilkan satu resolusi yang mampu mewakili suara pencerahan, lebih elok jika diteliti dan dikaji terlebih dahulu apakah punca ia berlaku sehingga menerbitkan fenomena. Kedua, kita sepatutnya mengkaji apakah kesan sama ada positif mahupun negatif yang akan terhasil melalui cerita yang berbentuk begini. Akhirnya, baru garis panduan dan sebagainya yang bakal terangkum dalam resolusi harus dibentuk.
Saya hanya ingin menyentuh tentang beberapa cadangan saya ke arah memurnikan perkara ini sekaligus memartabatkan mutu perfileman negara.
Pertama, kementerian yang bertanggungjawab dalam hal ini mestilah meletakkan satu tujuan yang paling utama sekaligus menjadi asas kepada pembikinan filem negara kita. Setelah itu barulah kementerian berkenaan meletakkan beberapa lagi misi bagi menjayakan tujuan dan matlamat yang terpenting itu.
Sebagai contoh, matlamat tertinggi pembikinan filem adalah untuk meningkatkan intelektual dan kualiti emosi rakyat negara kita. Manakala misi yang mengiringi intelektual kemungkinan ialah; menaikkan nama baik negara, menimbulkan rasa semangat negarawan yang berkobar-kobar dan penerapan unsur akhlak yang budiman.
Seyogia itu, semua pengarah filem mesti berusaha untuk mencapai tujuan itu bersama-sama dalam pelbagai bentuk.
Kedua, satu piawaian disiplin dan budaya dalam perfileman mesti digarispandukan. Apa maksud saya? Antara cadangan yang ingin saya ketengahkan ialah batasan pemakaian artis yang nampaknya sekarang kian terdedah, menaik dan menyingkat. Malah kementerian mesti meletakkan batasan terhadap beberapa perkara seperti penerapan satanisme, hiburan, aksi ganas dan juga apa sahaja yang menggambarkan keburukan sosial yang melampau. Ini kerana, apabila keburukan sosial melampau didedahkan secara keterlaluan dan kerap, ia kelak akan memberikan kesan negatif kepada nama baik negara di mata dunia.
Ketiga, saya mencadangkan agar kerajaan mengambil langkah untuk mengadakan sesi perbincangan serius bersama semua penerbit dan pengarah filem. Perbincangan berkenaan mestilah dihadiri bersama para agamawan, intelektual, Motivator, kaunselor, ahli parti politik, sejarawan, budayawan, karyawan dan mana-mana para pengamal seni.
Dalam perbincangan itulah semua idea daripada pelbagai cabang dikutip dan mesti ia berakhir dengan satu tindakan yang disepakati bersama.
Keempat, saya mewakili Pemuda PUM turut mencadangkan agar kerajaan mengadakan kursus meningkatkan jati diri semua artis. Seolah-olah ia kursus wajib seperti BTN. Kemungkinan kerajaan boleh menjemput kumpulan motivasi ESQ untuk mengendalikan kursus tersebut. Malah dalam hal ini Pemuda PUM bersedia untuk bersama kerajaan bagi menjayakan misi yang penting ini.
Pemuda PUM berharap media suatu masa akan menjadi lidah kepada Islam itu sendiri. Pemuda PUM berkeyakinan terhadap kemampuan Gagasan 1 Malaysia yang dilaungkan oleh PM kita mampu menjadi landasan untuk memurnikan semangat beragam kalangan penduduk negara yang kita cintai.
MOHD DZUL KHAIRI MOHD NOOR
KETUA PEMUDA PERSATUAN ULAMA MALAYSIA (PUM)
013-2968703
NO 27, JALAN 19/28, SEKSYEN 19, 46300, PETALING JAYA, SEL


