Home » Kalam Ketua P-PUM » Currently Reading:

INSTITUSI KELUARGA

November 14, 2009 Kalam Ketua P-PUM No Comments

Kes seorang datuk berumur 80 tahun yang telah membunuh isterinya yang berumur 73 tahun di Kampung Kuala Sungai, Kubang Rotan amat menggemparkan. Satu persoalan besar yang timbul ialah, mengapa datuk itu tergamak untuk melakukan perkara sedemikian kepada isterinya sedangkan umur mereka sudah berada di waktu senja.

Peristiwa hitam ini merupakan rentetan sahaja daripada beberapa peristiwa lain yang telah banyak mencemarkan institusi kekeluargaan itu sendiri. Meskipun kerajaan telah mewajibkan pasangan yang akan berkahwin untuk mengikuti kursus, namun seolah-olah ia tidak memberikan kesan yang besar dalam proses pembikinan keluarga yang cemerlang.

Selain daripada itu, institusi kekeluargaan juga berdepan dengan banyak lagi masalah lain seperti gelagat anak-anak yang menunjukkan ketidakpuashatian kepada ibu bapa, kes buang anak, kes dera, perceraian yang berlaku bagaikan ia merupakan satu perkara yang lumarh dan juga sumbang mahram. Menurut satu maklumat yang boleh dipercayai kebenarannya, antara agenda Barat dalam meruntuhkan binaan Islam ialah dengan menimbulkan rasa tidak yakin muda-mudi terhadap institusi kekeluargaan sedangkan dalam Islam, institusi tersebut amat penting.

Di manakah salahnya dan apakah puncanya? Apakah benar terdapat satu perancangan yang tersusun yang disifatkan sebagai tangan ghaib untuk meruntuhkan sistem yang diambil berat dalam Islam ini? Atau sebenarnya ia merupakan kesilapan atau kekuarangan kita dalam menangani permasalahan yang kian membarah dan bernanah ini?

Pemuda Persatuan Ulama Malaysia (PUM) memahami budaya yang banyak diterapkan dalam cerita Hindustan banyak merosakkan institusi yang mulia ini daripada membina. Antara budaya yang diterapkan ialah cinta mengatasi segala-galanya dan anak muda sanggup membelakangkan orang tua gara-gara kekasihnya.

Pemuda PUM memikirkan amat penting sekiranya satu kempen serius diadakan secara berterusan dalam usaha menyuburkan semangat kekeluargaan dan kasih sayang. Dalam kaedah Islam, suami yang berbuat baik kepada isteri merupakan satu tuntutan yang terpenting. Berbuat baik bukan sahaja bererti melayani isteri dengan kasih dan sayang malah memberikan didikan dan tarbiah yang sewajarnya.

Kempen tersebut boleh jadi dimasukkan dalam agenda 1 Malaysia yang sedang digerakkan secara holistik sekarang. Boleh jadi media-media massa dan elektronik yang berkaitan dengan perkara ini dperkasakan dari semasa ke semasa. Dalam masa yang sama, Pemuda PUM amat mengalu-alukan sekiranya kerajaan ingin menambahbaikkan kursus perkahwinan demi memastikan keberkesanannya.

Pemuda PUM berkeyakinan, sekiranya kerajaan dan semua pihak bertanggungjawab serius dalam isu ini, kes-kes jenayah dalam kekeluargaan pasti akan dapat dibendung dan diatasi sedikit demi sedikit sehinggalah ia kembali menjadi murni.

MOHD DZUL KHAIRI MOHD NOOR

Ketua Pemuda Persatuan Ulama Malaysia (PUM)

No 27, jalan 19/28, Seksyen 19, 46300, Petaling Jaya, Selangor.

013-2968703

Search This Site:

Content Tags:

Muzakarah


ShoutMix chat widget

Counter Hits

Comment on this Article:







Related Articles: