HADIS: TIGA PEROSAK DAN TIGA PENYELAMAT
Nabi saw menjelaskan dalam dua hadis yang berbeza berkenaan dengan tiga perkara yang boleh merosakkan amal seseorang dan tiga perkara lain pula yang boleh menyelamatkan. Baginda saw bersabda, “Tiga perkara yang merosakkan: Bakhil (syuhhun) yang ditaati, hawa nafsu yang dituruti, dan perasaan hairan (ujub) seseorang terhadap dirinya sendiri.” Dalam hadis yang lain, baginda saw bersabda, “Tiga perkara yang menyelamatkan: Khasyyah seseorang kepada Allah sama ada ketika ia bersendirian atau di khalayak, kalimah yang benar ketika marah atau tenang dan bersederhana (al-qasdu) ketika miskin mahupun kaya.”
Terdapat tiga kalimah yang harus difahami dengan baik iaitu syuhhun (bakhil), ujub dan khasyyah.
Syuhhun merupakan satu perbuatan yang jauh lebih teruk berbanding bakhil itu sendiri. Orang bakhil mungkin kedekut untuk memberikan sedekah dan membantu orang susah. Namun syuhhun lebih teruk keadaannya. Orang yang syahih adalah orang yang kedekut untuk membantu keluarganya sendiri bahkan kedekut untuk belanja harian untuk dirinya meskipun ia mampu.
Ujub pula membawa erti seseorang yang berasa kagum dengan kehebatan dirinya sendiri sama ada dari sudut akhlak mahupun ibadah. Manakala khasyyah membawa pengertian yang lebih dalam berbanding takut. Khasyyah bermakna, seseorang yang takut kepada Allah swt lalu ia mendekati penciptanya itu. Sesuailah khasyyah untuk ditamsilkan dengan satu kata-kata ulama, “Seseorang yang takutkan sesuatu akan melarikan diri daripadanya. Orang yang takutkan Allah pula akan berlari menuju kepada-Nya.”


