Sistem Dua Parti Kurang Relevan – Ketua Pemuda PUM
21 November 2009 – Ketua Pemuda (KP) PUM telah dijemput untuk menghadiri Seminar Pakatan Rakyat yang diadakan di Pearl international Hotel, Jalan Klang Lama. Seminar yang diadakan membincangkan tentang sejauh mana relevansi Sistem Dua Parti jika dipraktikkan di negara ini.
Menurut KP, beliau melihat sistem dua parti kurang relevan untuk dilaksanakan di negara ini meskipun keadaan sekarang menuju ke arah itu. Beliau melihat mood dan situasi rakyat Malaysia tidak menjurus ke arah menjayakan sistem sebegitu. Dalam masa yang sama, beliau juga kurang bersetuju dengan sistem multi-party yang terlampau banyak seperti yang berlaku di Negara Indonesia.
Beliau dilaporkan berkata, “Di Negara Barat, blok antara Liberal dengan Konservatif terlalu jelas jurang dan perbezaannya. Keketaraan ini telah membantu mereka untuk membentuk dwi-party system. Namun saya tidak melihat kemungkinan itu berlaku di negara kita meskipun Pakatan Rakyat telah berusaha ke arah membentuk Parti Rakyat Malaysia.
“Namun saya tidak menolak kemungkinan itu berlaku bahkan sekiranya ia benar-benar berlaku, saya amat menyokongnya. Cuma buat masa sekarang, berdasarkan kondisi dan permasalahan semasa, saya melihat ia kurang relevan.”
Beliau dalam masa yang sama turut mengulas bahawa suasana politik sekarang agak kurang memberikan kredit kepada Pakatan Rakyat. Antara perkara yang ditekankan oleh beliau ialah soal Pemuda PAS yang tidak meneruskan agenda Duta Penyelamat sebagaimana didendangkan pada zaman YB Solahudin. Bahkan Pemuda PAS tidak lagi menjadi suara rakyat manakala AMK juga begitu.
Beliau turut melemparkan pujian kepada KJ, Ketua Pemuda UMNO yang tangkas menarik perhatian anak muda dengan pelbagai strategi termasuk bola sepak. Tindakan pantas KJ telah menjadikan Pemuda PAS seolah-olah tidak relevan untuk anak muda.
KP tidak sempat untuk meluangkan masa yang panjang di sana. Setelah mendengar key-note address yang disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau bergegas ke Kuang untuk mengikuti satu program yang diadakan di sana.


