MALAM AMAL KEBAJIKAN DAN KEMANUSIAAN
Malam Amal Kebajikan dan Kemanusiaan merupakan anjuran bersama Pemuda Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Yayasan Amal dan Nisa’ Malaysia cawangan Lembah Pantai dengan kerjasama Kesatuan Penduduk Blok 20. Ia merupakan hasil cetusan Ketua Pemuda PUM, Saudara Mohd Dzul Khairi Mohd Noor dalam usaha memurnikan Islam dalam bentuk yang lebih kreatif dan bersifat seni.
Saudara Dinsman dan kumpulannya akan mempersembahkan sebuah teater Islam yang berjudul Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT). Ia merupakan persembahan utama pada malam tersebut. Selain daripada itu, Azhan Atan dan kumpulan Man Buger turut sama akan memeriahkan suasana malam itu dengan persembahan nyanyian dan nasyid mereka.
Turut memeriahkan program ialah kehadiran beberapa artis jemputan dan antara yang bakal dijemput ialah Erma Fatima dan penggerak-penggerak NGO Islam termasuklah non-muslim. Anak-anak yatim dari sebuah rumah anak yatim terpilih turut diundang sebagai meraikan mereka. Cabutan bertuah turut diadakan dengan tujuan untuk menarik golongan kanak-kanak.
Tujuan diadakan Malam Amal adalah selain memaparkan Islam melalui cara yang kreatif, memungut derma dan sumbangan untuk kegiatan gerak kerja Islam dan misi-misi kemanusiaan. Malah melalui program sebeginilah hubungan antara kumpulan ulama, Yayasan Amal dan juga Nisa’ Lembah Pantai dengan penduduk Lembah Pantai akan terjalin.
Ketua Pemuda PUM ketika ditemuramah menjelaskan, “Sudah tiba masanya untuk golongan pelapis ulama belajar bermasyarakat agar golongan ini tidak dipanggil elitis. Golongan ulama yang berpandangan Islam hanya disampaikan melalui kuliah dan aktiviti keilmuan sebenarnya telah melakukan satu kesiapan yang paling besar.”


