BENGKEL PEMIKIRAN KRITIKAL – IPT JOHOR
17 Nov 2009- Ketua Pemuda (KP) PUM, Ustaz Mohd Dzul Khairi Mohd Noor telah dijemput untuk mengendalikan bengkel pemikiran kritikal untuk program kepimpinan mahasiswa sebuah kampus di Johor semalam.
Dalam pengisian tersebut, KP berharap agar mahasiswa tidak hanya bertindak untuk melaksanakan program luaran semata-mata bahkan mesti bertindak sebagai satu kumpulan pendesak yang bergerak secara profesional.
Beliau menegaskan, terdapat beberapa ciri yang harus dimiliki oleh kumpulan anak muda termasuk mahasiswa. Ciri tersebut ialah kelantangan bersuara, profesional dalam bekerja, mendesak, memperjuangkan kebajikan, menjadi lidah kepada masayarakat serta sentiasa mencari jalan untuk menegakkan Islam itu sendiri.
KP turut mengharapkan agar kepimpinan anak muda meninggalkan tradisi silam yang sudah tidak relevan lagi pada masa sekarang. Beliau secara terbuka mengkritik kepimpinan kampus tersebut yang masih lagi mengadakan kuliah Risalah Ta’lim secara mingguan yang disifatkan beliau sebagai ketinggalan dan melambatkan.
Dalam perkongsian tersebut, beliau juga menyarankan agar kepimpinan menuntut ilmu sebanyak mungkin yang membolehkan mereka untuk melakukan ijtihad dalam kepimpinan berteraskan ilmu yang sahih. Beliau menyebut, Islam ini terlalu luas namun telah disempitkan oleh orang yang dangkal pemikiran dan kontang ilmu.


